Tuesday, January 5, 2010

BLOODSUCKER...part2


Sebelum ni aku pernah bercerita tentang makhluk penghisap darah iaitu Kutu Babi, dan kali ini aku masih akan bercerita tentang makhluk penghisap darah juga, tapi kali ini mengenai makhluk penghisap darah yang berbakti kepada mangsanya. Makhluk berbakti yg aku maksudkan ini adalah tak lain dan tak bukan...LINTAH.


Lintah sering digunakan dalam perumpamaan Melayu untuk menggambarkan sesuatu perkara yang negatif. Contohnya, jika dirujuk kamus dewan edisi ke- 4 ...


LINTAH DARAT yang bermaksud

"orang yang meminjamkan wang dgn menggunakan bunga yang sangat tinggi"


Selain itu, Maksud Lintah itu sendiri berdasarkan kamus ini adalah "sejenis binatang dalam kelas Hirudinea, rupanya seperti pacat tetapi lebih besar; jenis-jenisnya: ~ padi, ~ paya, ~ perca, dll".



Lintah juga pernah difilemkan sebagai karekter yang negatif. Ini adalah antara contoh filem yang aku pernah tonton:

1) DUKUN LINTAH - sebuah filem Indonesia, tahun 1981, yg mana aku pun x berapa ingat sebab kecik lagi, tapi kesimpulannya Lintah digunakan untuk tujuan negatif la..


2) ANIAAN - sebuah filem Tamil yang agak menarik untuk ditontoni, dan ada satu babak dalam filem ini yang mana lintah digunakan sebagai senjata untuk membunuh.


Sebenarnya, di dalam Bahasa Inggeris juga Leech (Lintah) juga digambarkan sebagai :

"a person who extorts profit from or sponges on others."


Tetapi, maksud lain lagi Leech dalam Bahasa Inggeris (selain lintah si makhluk penghisap darah) adalah "a doctor or healer" (doktor atau penyembuh) - Origin Old English. (reference : OXFORD-AMERICAN Dictionary dari Dashboard MAC aku.) Tapi dalam Bahasa Melayu tak de pun maksud camni kan..hmmmm... Nampaknya Barat lebih menghargai Lintah ini berbanding dengan masyarakat kita ni sehinggakan Lintah tu dinaik taraf menjadi seorang "doktor" dan dimasukkan dalam kamus untuk diterima serta diakui akan kepentingannya.


Tapi, memang ramai yang takut dengan lintah, dan ramai juga yang geli. Ya lah kan, bentuk tubuh Lintah ni adalah licin, dan cara ia juga bergerak membuatkan ramai yang lari. Jika dibandingkan saiz kita dengan lintah, besar lagi kita ni, tetapi kenapa kita mesti takutkan lintah? Selain dari gossip-gossip dan perumpamaan-perumpaan negatif yg sering dilemparkan kepadanya, mungkin juga kerana ia melibatkan darah kita yang dihisapnya. Tapi aku, aku tidak geli pada lintah. Pertembungan pertama aku dengan lintah adalah waktu aku kecil dahulu, aku dan kakak, adik dan sepupu aku bermain di tali air di belakang rumah nenek aku, bila dah sampai rumah, aku ke toilet untuk mencuci kaki, dan aku terlihat seperti ada daun yang melekat di kaki aku, aku cuba lalukan dengan air, ia masih juga melekat. Apabila aku pegang, aku terasakan teksturnya yang lembik dan apabila aku cuba cabut, memang susah dan apabila berjaya, kaki aku berdarah, namun aku tak terasa sakit. Jadi, mulai itulah baru aku tahu mengenai lintah ini. Sejak dari pertemuan pertama itu, agak lama juga aku tidak bertembung dengan makhluk ini, sehinggalah berberapa tahun lepas, selalu betul aku bertemu dengan lintah ini.


Walaupun lintah ini memang sudah terbukti dari zaman dahulu kala lagi akan khasiatnya kepada kesihatan, dan memang dari zaman dulu-dulu lagi lintah ini digunakan dalam bidang perubatan dan juga begitu biasa dan begitu dekat hubungannya dengan masyaratakat melayu, namun sejak gambaran-gambaran negatif yang sering dilemparkan kepadanya, Lintah seolah-olah sudah tiada tempat di hati masyarakat Melayu. Malahan ramai juga orang kita ni yang masih belum pernah melihat lintah, jauh sekali kena gigit dengan lintah. Sedangkan sewaktu datuk nenek kita menjadi pesawah dahulu, lintah-lintah inilah peneman setia mereka ke sawah dan masih menjadi peneman setia pesawah-pesawah sekarang. Sekarang ni kalau di lihat di luar negara, Lintah memang digunakan dalam perubatan disebabkan khasiatnya yang terbukti berkesan. Lintah ni seolah-olah menjadi penemuan baru bangsa asing ini, sedangkan masyarakat kita memang dah lama tahu mengenai khasiatnya, tetapi disebabkan cerita-cerita negatif mengenainya yang membuatkan masyarakat kita ni takutkan lintah, ia seolah-olah menjadi satu penemuan Barat dan bukannya masyarakat kita. Di Barat, Lintah digunakan dalam perubatan kerana Air Liur Lintah ini mengandungi bahan bius, bahan anti pembekuan darah dan bahan kimia yang membantu penghasilan bahan kimua melalui tisu setempat.


Sejak tersebarnya mengenai khasiat lintah di TV oleh pihak Barat, maka ramailah masyarakat kita ni menjadi usahawan segera...menternak lintah. Tapi mereka ni benar-benar menternak lintah kerana kesihatan dan pemahaman mereka mengenai khasiatnya ke ataupun kerana wang semata-mata? Ataupun kerana trend? Bila dah habis musim, maka, bungkus lah...hmmmm.. Tapi, lantaklah mereka, malas aku nak pikirkan.. kerana apa yang aku nak kongsikan sebenarnya adalah Khasiat Lintah Pada Pandangan Aku.


Aku ni sebenarnya walaupun maklumat yang aku perolehi dari internet dan TV mengenai Lintah ni, dan juga temubual aku dengan orang-orang yang biasa handle lintah ni sangatlah banyaknya, tapi aku lebih suka jika apa yang aku kongsikan tu berdasarkan pengalaman aku sendiri. Ramai orang boleh cerita, kadang-kadang cerita tu didengar dari orang lain, jadi sejauh kebenarannya tu..Wallah hu alam.. Jadi, oleh kerana aku ni memang dari kecil merupakan seorang yang mempunyai "curiosity" yang tinggi ataupun cakap melayunya "mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi" dan juga seseorang yang suka membuat eksperimen, maka aku telah membuat eksperimen kepada diri aku sendiri. Aku lebih suka buat macam ni sebab kita boleh nampak dan rasa sendiri kesannya, dan kita akan lebih faham akan fakta-fakta yang dihujahkan oleh orang-orang yang menemui tentang sesuatu itu.


Pada pertengahan tahun 2008 yang lalu, setelah diyakinkan oleh abang ipar aku, aku bercadang untuk membiarkan lintah menghisap darah aku. Jadi, pada suatu petang dihujung minggu, aku telah mengikut anak-anak buah aku, kakak dan juga abang ipar aku untuk mencari lintah yang begitu mudah untuk ditemui di sebuah tasik berdekatan dengan rumah kakak ku. Setelah mengumpulkan berbagai saiznya, anak-anak buahku yang memang suka dan obsess kepada lintah ni telah mengumpulkannya di dalam sebuah botol untuk dibawa pulang ke rumah. Maka, malam itu, bermulah eksperiman aku dengan lintah ini. Aku ambil saiz yang sederhana dan letakkan di kaki aku, setelah berberapa lama mencari lokasi yang sesuai, akhirnya lintah ini mula mengisap darah ku di bahagian betis. Sewaktu dia mula menggigit, aku terasa sedikit seperti digigit nyamuk kemudian bermulalah proses mengisap darah aku oleh lintah ini. Walaupun org cakap lintah gigit tak sakit, sebenarnya terasa sikit je, bukan lah tak rasa langsung, tapi kalau nak banding dengan nyamuk, sebanarnya rasa itu sangat lah sedikit dan sekejap sahaja. Dari masa ke semasa aku sentiasa memperhatikannya kerana setelah berberapa lama akan keluar cecair dari mulut lintah ini mengalir ke kaki aku dan ada juga masa-masanya ia akan muntahkan darah kita ni, jadi kena berjaga-jagalah dengan tisu. Setelah 8 jam lamanya, akhirnya lintah ini kenyang dan jatuh sendiri. Bila aku tengok, okay jugak sebenarnya, tak de la banyak sangat darah yang dihisapnya (waktu aku derma darah dulu lagi banyak dan lagi sakit), walaupun memang terdapat perubahan saiz lintah itu sebelum dan selepas menghisap darah aku. Memang la pada mulanya tempat yang dihisap darah itu akan tetap berdarah, tapi sekejap je, kalau ditarik dengan sengaja ketika ia menghisap darah kita, lagi banyak darah keluar dan susah untuk ia berhenti, tapi kalau kita biar sampai ia jatuh sendiri, darah yg keluar tak sebanyak jika ditarik secara paksa. Berberapa hari jugak (dekat 2 minggu kot) la tempat yang digigit lintah itu jadi gatal-gatal, tapi aku terasa perubahan pada kaki aku. Selama ni kaki aku selalu sakit-sakit terutama di bahagian lutut sewaktu berjalan jauh (mungkin juga sebab rajin sangat bersukan ketika di sekolah dulu..). Sebelum ni, kalau gi shopping complex pun jarang sekali aku merayau jauh-jauh sebab lutut aku mudah sakit. Tapi pada suatu malam tu, aku dan kakak aku telah pergi ke Jusco dan kami telah berjalan sangat lah jauhnya, boleh dikatakan semua floor kami rayau dan kaki aku tidak terasa sakit langsung. Aku terasa seperti pelik lak, kalau dulu tu, nak habiskan jalan 1 floor je, rasa lutut macam nak tercabut dah.. Tapi kini kaki aku tidak sakit langsung, dan aku benar-benar terasakan perubahannya. Jadi dengan itu, aku memang berhasrat untuk menggunakan lintah yang aku ambil dari habitat semuajadi yang tak tercemar ini untuk merawat kaki aku, kerana setelah berberapa lama aku tidak merawat kaki dengan lintah ini, dan kerana tiadanya aktiviti bersukan seperti jogging untuk mengimbangi gaya hidup aku ini, kaki aku kembali sakit-sakit. Maka weekend baru ini aku telah upgrade kepada lintah yang besar sedikit dari sebelum ini dan kaki aku kembali pulih seperti dulu. Kesimpulan aku dari kisah ini adalah rawatan ini perlu diulang seberapa kerap yang mampu kerana bila usia kita semakin meningkat, sistem badan kita agak lambat untuk me"neutralize" apa yang kita makan dan apabila penghadaman berlaku dengan kadar yang agak lambat, maka ia akan berkumpul menjadi toksik di dalam darah kita. Oleh sebab itulah, lintah ini sangat berguna untuk membuang toksik dalam darah kita dari semasa ke semasa.


p/s ketika mula-mula menggunakan lintah ini pada tahun 2008, aku yang begitu bersemangat dan kagum akan khasiatnya pada aku bercadang untuk berkongsi cerita denga kawanku Ayie (bukan nama sebenar), dia telah menyakinkan aku bahawa Abg M.Y (juga bukan nama sebenar) adalah supplier lintah. Maka dengan excitednya aku pergi bertemu Abg M.Y untuk berkongsi cerita, setibanya di sana, baru sahaja aku menyebut nama lintah, dia terus terkejut dan hampir melompat... rupa-rupanya aku telah ditipu oleh Ayie.. Abg M.Y sebenarnya geli kepada lintah...hahaha... kuang ajar Ayie.. aku masa tu baru 3 bulan masuk kerja... Ciss... terkena aku!



Tahukah Anda?

  1. terdapat 650 spesis lintah
  2. lintah terbesar dijumpai berukuran 18 inci
  3. kira-kira 1/5 dari sepsis lintah hidup dilaut yang mana memakan ikan
  4. lintah mempunyai 32 otak iaitu 31 lebih dari manusia
  5. lintah Hirudo mengeluarkan anak dalam kokun dimana lintah itu membawa anak-anaknya diatas perut sendiri. Kadangkala mencapai sebanyak 300 ekor
  6. tidak semua lintah adalah penghisap darah.kebanyakkannya adalah pemburu yang memakan cacing tanah dan lain-lain.
  7. Lintah Amazon menggunakan kaedah yang berlainan untuk menghisap darah. Ia memasukkan proboscic panjang ke dalam mangsa tanpa menggigitnya
  8. Gigitan lintah tidak menyakitkan kerana mempunyai bahan bius
  9. Lintah Hirido menyuntik anti pembekuan serum ke dalam mangsanya untuk mengelakkan pembekuan darah
  10. Lintah akan mengembang sendiri sehingga kenyang dan jatuh dari mangsa dengan sendiri
  11. Lintah akan memgembang sendiri sehingga 5 kali berat badannya
  12. Lintah pertama yang digunakan dalam perubatankira-kira pada 1000 sebelum masihi. Kemungkinan ketika India purba
  13. Pada masa lampau, orang ramai akan berdiri di tepi tasik dan kolam, bila lintah melekat pada kaki mereka, ia dimasukkan dalam bakul untuk dijual. Pada masa kini, lintah Hirudo merupakan spesis terancam
  14. Pakar bedah yang asal adalah seorang tukang dan mereka menggunakan lintah untuk memulihkan apa sahaja penyakit bermula dari sakit kepala ke penyakit gaut
  15. Sistem saraf lintah mempunyai banyak persamaan dengan sistem saraf manusia
  16. Saudara terdekat lintah adalah cacing tanah
  17. Lintah boleh menggigit walaupun pada paha badak air yang tebal

(sumber : Jual Lintah - MAKLUMAT LINTAH)






[Anak-anak buah aku A2 & A4 begitu gembira dan teruja untuk mencari lintah....]



[Anak-anak buah aku A1, A2 & A4 sedang memperhatikan banyak atau tidak..]





[Anak-anak buah aku A1, A2, A3 & A4 sedang menunggu lampu hijau dari bapa mereka..]



[Setelah diberi lampu hijau oleh bapa mereka A2, A3 dan A4 bergegas bermain lumpur dan menjadikan kaki mereka umpan untuk menangkap lintah, manakala A1 diberi lampu hijau untuk ke tempat yang lebih dalam.]



[Antara lintah yang di bawa pulang... (besar betul...)]



[Lintah setelah menghisap darah]



[Lintah yang memuntahkan darah]



[Aku rasa gambar ini sesuai untuk dijadikan iklan U-Mobile.. hihi..]






1 comment:

sabsabsoi said...

Bukan main...siap dari OXFORD-AMERICAN Dictionary ko cari maklumat ye. Aku nak pekena lintah yg 18in punya boleh..